KUALA LUMPUR: Hartanah kediaman yang siap dibina tidak terjual atau 'overhang' bernilai RM300,000 ke bawah paling banyak direkodkan pada suku pertama 2025 iaitu sebanyak 7,135 unit bernilai RM1.58 bilion.
Ia mewakili 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan hartanah kediaman siap tidak terjual sebanyak 23,515 unit bernilai RM15 bilion pada suku dikaji, demikian menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Kuala Lumpur merekodkan jumlah hartanah siap dibina tidak terjual tertinggi sebanyak 3,668 unit diikuti Johor (3,034 unit) dan Perak (2,964 unit) pada suku dikaji.
Rumah berharga RM300,000 hingga RM500,000 pula berada di tempat kedua paling banyak tidak terjual mewakili 29 peratus, sebanyak 6,813 unit bernilai RM2.69 bilion, diikuti rumah berharga RM500,000 hingga RM1 juta (6,713 unit bernilai RM4.43 bilion) dan rumah berharga RM1 juta ke atas (2,854 unit bernilai RM6.3 bilion).
Untuk perbandingan, jumlah dan nilai hartanah kediaman siap tidak terjual secara keseluruhan merekodkan penurunan 2.9 peratus dan 9.0 peratus berbanding suku pertama tahun 2024.
Bagaimanapun, jika dibandingkan pada suku sebelumnya iaitu suku keempat 2024, ia mencatatkan peningkatan marginal 1.6 peratus dan 7.7 peratus dalam bilangan dan nilai iaitu 23,149 unit hartanah kediaman siap tidak terjual bernilai RM13.94 billion.
Sementara itu, segmen pasaran pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual merekodkan prestasi yang lebih baik dengan menunjukkan penurunan marginal kepada 18,246 unit bernilai RM14.61 billion, penurunan masing-masing sebanyak 6.7 peratus dan 6.9 peratus dari segi bilangan dan nilai berbanding suku sebelumnya.
Johor kekal sebagai negeri tertinggi merekodkan pangsapuri khidmat siap tidak terjual tertinggi sebanyak 9,507 unit diikuti Kuala Lumpur (4,112 unit) dan Selangor (2,561 unit).
Dalam pada itu, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada suku pertama 2025 berada pada paras 225.3 mata dengan harga purata RM486,070 seunit, pertumbuhan tahunan pada kadar 0.9 peratus.
Rumah teres mencatat kenaikan 2.2 peratus kepada RM471,720 pada suku pertama 2025 berbanding RM461,125 pada suku sama tahun lalu.
Harga rumah bertingkat pula turun 0.6 peratus kepada RM373,913 pada suku pertama 2025 berbanding RM375,982 pada suku sama 2024.
Rumah berkembar turut mencatatkan penurunan sebanyak 1.3 peratus daripada RM740,762 pada suku pertama 2024 kepada RM731,432 pada suku pertama 2025, manakala harga rumah sesebuah susut 0.2 peratus daripada RM658,073 pada suku pertama 2024 kepada RM656,913 pada suku pertama 2025.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, JPPH, Abdul Razak Yusak, berkata aktiviti pembinaan hartanah kediaman pada suku pertama merekodkan pertumbuhan yang signifikan apabila bilangan unit siap dibina meningkat 30.2 peratus kepada 9,329 unit berbanding 7,168 unit pada suku sama tahun lalu.
Selain itu, katanya unit mula dibina turut meningkat 32.5 peratus kepada 28,344 unit daripada 21,391 unit pada suku pertama 2024 sekali gus menunjukkan trajektori pembangunan sektor kediaman semakin mengukuh.
"Bagaimanapun, prestasi transaksi hartanah mengalami penurunan dengan bilangan dan nilai transaksi menurun 6.2 peratus dan 8.9 peratus kepada 97,772 transaksi bernilai RM51.42 bilion, berbanding 104,194 transaksi bernilai RM56.47 bilion pada tempoh sama tahun 2024," katanya.
Beliau berkata demikian pada siaran Pasaran Harta Tanah Suku Pertama Tahun 2025 yang disiarkan secara maya di Facebook hari ini.
Johor muncul negeri yang mencatatkan jumlah pelancaran baharu paling banyak pada suku pertama 2025 dengan 3,194 unit, diikuti oleh Selangor dengan 2,129 unit dan Negeri Sembilan sebanyak 1,838 unit.
Rumah berharga antara RM300,001 hingga RM500,000 paling banyak dilancarkan pada suku itu iaitu 5,350 unit, merangkumi 42.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.