BARU-baru ini tular di media sosial beberapa isu berkaitan pertikaian persempadanan tanah membabitkan dua pemilik tanah yang berbeza.
Konflik timbul selepas proses mengukur dan mengesan batu sempadan dijalankan juruukur tanah berlesen mendapati tanahnya diceroboh tanpa kebenaran.
Keadaan menjadi 'panas' selepas pihak yang didapati menceroboh tanah tidak berpuas hati dengan hasil penelitian ukuran yang dibuat.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Harta Tanah Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman, kesilapan atau pertindihan dalam ukuran tanah boleh membawa kesan yang serius terutamanya daripada segi undang-undang dan kewangan.
"Ia termasuk pertikaian sempadan antara pemilik yang berjiran, pencerobohan tanpa sengaja ke atas tanah orang lain atau tanah kerajaan serta kelewatan dalam urusan pembangunan dan pindah milik hartanah," katanya.
Tambahnya, dalam kes yang lebih rumit, ia boleh menyebabkan proses mahkamah yang panjang dan merugikan semua pihak terbabit.
"Pertindihan lot juga boleh berlaku apabila pelan atau ukuran tidak dikemas kini atau dibuat tanpa merujuk data rasmi daripada pihak berkuasa. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pemilik sedia ada, tetapi juga menimbulkan keraguan terhadap ketulenan hak milik sesuatu lot.
"Justeru, pengukuran tanah yang tepat dan sah oleh juruukur berlesen adalah amat penting bagi menjamin kepastian hak milik dan mengelakkan konflik pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, antara kesilapan lain yang biasa dilakukan pemilik tanah ialah tidak mendapatkan khidmat juruukur berlesen untuk pengesahan sempadan sebelum menjalankan aktiviti seperti pembinaan pagar, bangunan, atau kerja tanah.
"Kesilapan ini boleh mengakibatkan pencerobohan ke atas tanah jiran atau tanah milik kerajaan tanpa disedari. Selain itu, ada juga pemilik yang terlalu bergantung kepada pelan lama atau maklumat lisan tanpa merujuk pelan ukur rasmi terkini.
"Tidak kurang juga yang gagal menyemak sempadan secara berkala selepas perubahan fizikal berlaku di kawasan sekitar seperti pembangunan baru atau perubahan aliran sungai. Tindakan sebegini boleh membawa kepada pertikaian sempadan dan urusan undang-undang yang rumit serta memakan masa," katanya.
Menurutnya, ukuran tanah amat penting kerana ia menjadi asas utama dalam penentuan sempadan hak milik yang sah.
Katanya, proses ini memastikan keluasan dan lokasi sebenar sesuatu lot tanah dapat dikenal pasti dengan tepat, sekali gus mengelakkan pertikaian antara pemilik tanah yang berjiran.
"Selain itu, ukuran tanah juga penting dalam urusan pembangunan, penilaian hartanah, pajakan serta pindah milik tanah. Ia turut digunakan pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal sebagai rujukan dalam penyediaan pelan pembangunan serta infrastruktur.
"Secara keseluruhannya, ukuran tanah menjamin ketelusan, kepastian hak milik dan kelancaran dalam pelbagai urusan berkaitan tanah," katanya.
Mengulas lanjut, proses mengukur tanah perlu dilakukan dalam beberapa situasi utama, antaranya ketika permohonan hak milik baru ke atas tanah kerajaan, pemecahan atau penggabungan lot tanah, serta semasa pindah milik hartanah.
"Selain itu, ukuran tanah juga diperlukan apabila berlaku pertikaian sempadan, sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan seperti pembinaan bangunan, atau semasa proses pengambilan balik tanah oleh kerajaan untuk tujuan awam.
"Dalam kes tanah persendirian, ukuran semula mungkin dilakukan apabila terdapat ketidakpastian sempadan atau perubahan fizikal yang ketara di atas tanah tersebut. Proses ini memastikan semua maklumat berkaitan tanah adalah tepat dan dikemas kini mengikut keadaan semasa," katanya.
Jelasnya, proses pengukuran tanah biasanya dimulakan dengan penyediaan dokumen dan maklumat awal oleh pemilik tanah termasuk salinan hak milik, pelan tanah dan maklumat berkaitan sempadan.
"Seterusnya, juruukur tanah berlesen akan melakukan semakan awal di pejabat tanah dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk mendapatkan data sokongan seperti pelan terdahulu dan titik rujukan geodetik.
"Kerja-kerja pengukuran di lapangan dilakukan menggunakan peralatan moden seperti Total Station atau sistem Sistem Pengesanan Global (GPS) berketepatan tinggi. Juruukur akan mengenal pasti dan menandakan sempadan tanah berdasarkan koordinat sebenar yang diperoleh daripada pelan rasmi.
"Selepas ukuran selesai, satu pelan ukuran baharu akan disediakan dan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk pengesahan dan rekod. Keseluruhan proses ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ketepatan data dapat dijamin, seterusnya memastikan hak milik dan sempadan tanah terpelihara mengikut undang-undang," katanya.
Dr Muhammad Azwan berkata, terdapat beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan sekiranya timbul isu berkaitan ukuran tanah atau pertikaian sempadan.
Antaranya ialah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN), adalah akta utama dalam mengawal selia urusan tanah di Malaysia. Seksyen-seksyen tertentu dalam KTN memberi kuasa kepada Pengarah Tanah dan Galian atau Pentadbir Tanah untuk menyelesaikan isu sempadan, mengarahkan siasatan atau mengesahkan semula sempadan yang dipertikaikan.
"Selain itu, Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) juga memperuntukkan bahawa hanya juruukur tanah berlesen yang dibenarkan menjalankan kerja-kerja pengukuran rasmi.
"Jika terdapat sebarang keraguan terhadap ketepatan ukuran, pemilik tanah boleh membuat aduan atau permohonan rasmi untuk semakan semula oleh pihak berkuasa berkaitan atau melalui khidmat juruukur berlesen.
"Sekiranya pertikaian tidak dapat diselesaikan melalui saluran pentadbiran, pihak yang terbabit boleh membawa kes ke mahkamah untuk mendapatkan keputusan secara perundangan. Ini menunjukkan bahawa sistem undang-undang sedia ada menyediakan pelbagai mekanisme untuk melindungi kepentingan pemilik tanah," katanya.
Beliau berharap semua pemilik tanah dan pihak berkepentingan lebih peka dan mengambil berat mengenai kepentingan proses ukur tanah yang tepat serta sah.
"Dengan kerjasama daripada semua pihak termasuk pemilik tanah, juruukur berlesen dan agensi kerajaan, kita dapat memastikan urusan berkaitan tanah berjalan lancar tanpa konflik dan pertikaian yang tidak diingini.
"Jangan sesekali mengambil mudah soal pengukuran tanah dan sentiasa dapatkan khidmat juruukur tanah berlesen sebelum melakukan sebarang pembangunan atau urusan pindah milik.
"Pastikan pelan ukur sentiasa dikemaskini dan disahkan pihak berkuasa bagi menjaga hak milik dan kepentingan anda. Menerusi langkah ini, kita dapat memelihara keamanan dan keharmonian dalam komuniti serta memelihara nilai hartanah yang dimiliki," katanya.