LAPORAN Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan kediaman berharga bawah RM300,000 menerajui bilangan kediaman siap dibina tidak terjual dalam tempoh Januari hingga Jun 2025.
Dalam tempoh itu, unit kediaman berharga bawah RM300,000 siap dibina tidak terjual merekodkan sebanyak 9,710 unit bernilai RM2.3 bilion atau 36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan unit kediaman siap dibina tidak terjual.
Meskipun dikatakan ramai yang berminat dan mahu membeli rumah tetapi banyak faktor yang menyukarkan impian itu menjadi kenyataan.
Realiti membeli rumah hari ini juga tidaklah semudah yang disangka.
Ramai pembeli rumah berdepan pelbagai cabaran sebelum dapat memiliki kediaman impian terutamanya di bandar-bandar besar.
Antara isu utama yang sering dibangkitkan ialah harga rumah yang terlalu tinggi, saiz dan lokasi kediaman yang kurang sesuai.
Walaupun ditawarkan pada harga bawah RM300,000, namun ia masih tidak sepadan dengan pendapatan semasa.
Bagi golongan muda yang baru bekerja dan berkahwin contohnya, beban bayaran bulanan pinjaman perumahan menjadi penghalang utama mereka.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Penganalisis Ekonomi UNIKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dalam kenyataannya sebelum ini berkata, situasi itu mungkin disebabkan kediaman berkenaan terletak di lokasi tidak strategik terutama kawasan baharu yang jauh dari pusat bandar utama.
Kata beliau, dengan tiadanya kegiatan ekonomi di kawasan itu serta mungkin berkedudukan jauh dari infrastruktur seperti lebuh raya dan pengangkutan awam menyebabkan rumah di kawasan itu berharga bawah RM300,000.
Menurutnya, golongan yang disasarkan untuk membeli rumah pada julat harga itu adalah golongan keluarga muda, mahupun M40 dan sedikit kumpulan isi rumah yang pendapatan bulanan mereka adalah yang tertinggi dalam kategori B40 atau 'Upper B40.'
"Kenaikan kos sara hidup yang meningkat turut menyumbang kepada kebimbangan ini antaranya mereka tidak mampu menyediakan deposit 10 peratus serta kos lain seperti guaman, duti setem dan sebagainya yang agak membebankan mereka.
"Keutamaan lebih kepada menangani kos sara hidup dan terus menyewa kerana tidak mampu membayar deposit, walaupun pinjaman dari institusi kewangan dikatakan mudah untuk didapati," katanya.
Dalam pada itu, faktor lokasi turut memainkan peranan utama.
Ramai bakal pembeli mahu berkompromi dengan membeli rumah yang jauh dari tempat kerja atau kemudahan asas kerana harga lebih murah.
Tetapi, akhirnya mereka perlu menanggung kos pengangkutan lebih mahal dan masa perjalanan yang panjang.
Pembeli yang tinggal jauh biasanya akan menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya setiap hari, terutama ketika waktu puncak.
Perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja yang memakan masa panjang bukan sahaja meletihkan, malah menjejaskan kualiti masa bersama keluarga.
Selain masa, isu kos pengangkutan juga menjadi beban.
Harga minyak yang tidak menentu, ditambah dengan kadar tol yang tinggi, menjadikan kos perjalanan bulanan semakin meningkat.
Bagi sesetengah keluarga, jumlah yang dibelanjakan untuk minyak dan tol hampir menyamai bayaran pinjaman rumah.
Keadaan itu membuatkan ramai mula berfikir dua kali, adakah berbaloi membeli rumah lebih murah tetapi jauh, atau lebih baik melabur dalam rumah yang lebih dekat walaupun harga tinggi?
Inilah dilema utama yang sering menghantui bakal pembeli rumah, khususnya di kawasan bandar utama.
Di kawasan Lembah Klang misalnya, kewujudan rangkaian Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), bas dan KTM Komuter memberi pilihan lebih mudah kepada penduduk untuk berulang-alik ke tempat kerja tanpa perlu memandu.
Rumah yang terletak berhampiran stesen pengangkutan awam biasanya mempunyai permintaan tinggi kerana ia menjimatkan masa, mengurangkan kebergantungan pada kenderaan persendirian, dan sekali gus menjimatkan kos minyak serta tol.
Namun, tidak semua projek perumahan dibina dengan akses baik ke sistem pengangkutan ini.
Bagi mereka yang bijak menilai, rumah yang berada dalam lingkungan transit-oriented development (TOD) sering dianggap pelaburan terbaik kerana selain memudahkan gaya hidup, nilai hartanahnya juga berpotensi meningkat lebih cepat pada masa depan.
Sementara itu, dari segi reka bentuk pula, ramai bakal pembeli yang kecewa kerana saiz rumah hari ini terlalu kecil dan tidak praktikal untuk keluarga.
Tidak kurang juga ada yang mendapati susun atur dalaman tidak sesuai dengan gaya hidup semasa.
Masalah lain termasuklah kekurangan kemudahan sekitar seperti sekolah, hospital, taman rekreasi serta isu keselamatan di kawasan perumahan.
Yuran penyelenggaraan tinggi, caj guaman dan kos pengubahsuaian yang tidak dijangka juga menambah beban bakal pembeli selain perlu risaukan risiko projek terbengkalai atau kualiti binaan yang tidak memuaskan.
Bagi mereka yang mengutamakan pelaburan, isu nilai hartanah dan potensi kenaikan harga pada masa depan turut menjadi faktor penentu.
Kesimpulannya, walaupun impian memiliki rumah idaman sentiasa membara, pelbagai cabaran masih menjadi tembok penghalang.
Justeru, pembeli disarankan membuat kajian mendalam, menilai kemampuan sebenar serta mendapatkan nasihat pakar sebelum membuat keputusan besar dalam hidup mereka.