Gaji pertama masuk, rasa seronok tak terkata. Dalam kepala sudah mula terbayang rumah sendiri, kecil tidak mengapa, asalkan milik sendiri.
Tetapi, bagi yang baru mula bekerja, membeli rumah bukan soal cepat atau lambat, sebaliknya soal bijak merancang.
Langkah paling penting sebelum bercakap mengenai harga rumah ialah mengenal kemampuan diri.
Ramai golongan muda teruja melihat rumah cantik tanpa sedar komitmen bulanan bakal mengekang kehidupan harian.
Secara umum, ansuran rumah yang sihat tidak sepatutnya melebihi satu pertiga daripada pendapatan bulanan.
Jika gaji RM3,000, bayaran rumah sekitar RM900 sudah dianggap selesa dan tidak menekan.
Ramai yang tersalah anggap kononnya wang pendahuluan hanya 10 peratus harga rumah.
Hakikatnya, pembeli juga perlu bersedia dengan kos lain seperti duti setem, yuran guaman, insurans dan kos penilaian.
Jumlah ini boleh mencecah belasan ribu ringgit. Justeru, sebelum menandatangani apa-apa perjanjian, simpanan awal sangat penting supaya pembelian rumah tidak menjadi beban sejak hari pertama.
Bagi yang baru bekerja, rumah pertama tidak semestinya rumah impian.
Pilih rumah yang praktikal, dekat dengan tempat kerja dan mudah diakses pengangkutan awam.
Rumah yang sederhana, tetapi strategik jauh lebih bernilai dalam jangka panjang berbanding rumah besar yang memaksa hidup 'ikat perut' setiap bulan.
Satu perkara yang sering dipandang ringan ialah rekod kredit.
Walaupun masih muda, sejarah kewangan sangat mempengaruhi kelulusan pinjaman.
Bayar bil telefon, kad kredit atau pinjaman pendidikan tepat pada masanya.
Rekod yang baik memudahkan urusan pinjaman perumahan apabila tiba masanya.
Bagi membantu golongan muda memiliki rumah, kerajaan menyediakan beberapa skim seperti i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengeluaran Akaun 2 dan skim rumah pertama.
Fahami setiap skim dengan teliti kerana ia boleh meringankan beban kewangan, terutama pada peringkat awal pembelian.
Akhir sekali, jangan terburu-buru. Membeli rumah ialah komitmen jangka panjang yang membabitkan emosi dan kewangan.
Ambil masa untuk belajar, bertanya dan membuat perbandingan.
Rumah pertama sepatutnya memberi rasa selamat dan stabil, bukan tekanan setiap hujung bulan.
Memiliki rumah sendiri bukan perlumbaan, yang penting, langkah pertama dibuat dengan ilmu, perancangan dan kesedaran supaya rumah yang dibeli benar-benar menjadi tempat membina kehidupan, bukan beban sepanjang usia.