Rang Undang-undang (RUU) Sewaan Kediaman yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, disifatkan sebagai langkah penting dan signifikan bagi mengatasi jurang ketidakpastian undang-undang yang sekian lama membelenggu pasaran sewaan kediaman di Malaysia.
Pasaran sewaan ketika ini berdepan pelbagai isu serius termasuk kenaikan sewa yang tidak munasabah, pertikaian pemulangan deposit, tunggakan sewa, kerosakan harta, kontrak tidak seragam serta kes pengusiran tanpa prosedur yang adil.
Justeru, penggubalan akta khusus itu dilihat membantu melindungi hak pemilik dan penyewa, serta menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian tanpa mengawal kadar sewa.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) PK Prakash, perkara itu antara lain mencerminkan kesediaan kerajaan memperkukuh tadbir urus pasaran sewaan supaya menjadi lebih tersusun, telus dan seimbang.
Katanya, ia penting demi melindungi kepentingan pemilik serta penyewa di negara ini.
"RUU Sewaan Kediaman juga perlu disokong dengan penubuhan Tribunal Sewaan Kediaman sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian khusus, berfokus dan mesra rakyat.
"Ini kerana, pasaran sewaan kediaman ketika ini berdepan pelbagai isu serius yang semakin membebankan rakyat seperti kenaikan kadar sewa tidak munasabah dan pertikaian berkaitan tunggakan pemulangan deposit.
"Selain itu, kerugian pemilik rumah akibat tunggakan sewa dan kerosakan harta serta kontrak sewaan tidak seragam dan kabur sehingga membuka ruang kepada manipulasi," katanya.
Mengulas lanjut, Prakash turut menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya memastikan proses libat urus telus, inklusif dan menyeluruh dapat dilaksanakan sebelum RUU berkenaan dimuktamadkan.
Kata Prakash, pandangan pemain industri, pertubuhan masyarakat, pemilik rumah, penyewa serta pihak berkepentingan lain seharusnya perlu diambil kira supaya undang-undang yang bakal diperkenalkan benar-benar praktikal, seimbang dan berkesan untuk dilaksanakan.
"Kami turut mengalu-alukan langkah KPKT yang kini mula memberi perhatian serius terhadap suara rakyat serta perjuangan mengenai keadilan dan keseimbangan dalam pasaran sewaan kediaman negara yang sekian lama diperjuangkan NHRA," katanya.
Prakash berkata, NHRA juga mengambil perhatian terhadap kes pengusiran tanpa prosedur adil, ugutan atau tekanan serta situasi penyewa dipaksa menanggung kos pembaikan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab pemilik.
Kata Prakash, kawasan berdepan masalah trafik, berkepadatan tinggi serta kemudahan terhad sepatutnya mempunyai kadar sewa lebih rendah berbanding lokaliti lengkap dengan prasarana dan persekitaran selesa.
Mengenai Tribunal Sewaan Kediaman, Prakash berkata, ia penting bagi memastikan pertikaian antara pemilik dan penyewa diselesaikan secara lebih cepat, adil, efisien serta menjimatkan kos, berbanding proses mahkamah, lazimnya memakan masa panjang dan membabitkan kos guaman yang tinggi.
"Tribunal yang berfungsi dengan baik mampu menangani isu seperti pemulangan deposit, tunggakan sewa, kerosakan harta, pelanggaran kontrak dan pengusiran secara lebih teratur tanpa birokrasi berlebihan," katanya.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini dipetik berkata, kementerian dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Sewaan Kediaman di Dewan Rakyat tahun ini.
Menurut Nga, pihaknya dalam peringkat akhir pelaksanaan kajian membabitkan RUU berkenaan dan beliau sendiri akan meneliti setiap fasa sebelum mengemukakannya kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan.
"Kita berharap, apabila Jemaah Menteri sudah mencapai kata sepakat, RUU dapat diluluskan di Dewan Rakyat dalam tahun ini juga untuk menjamin hak penyewa dan pemilik rumah.
"Ini adalah keseimbangan yang sedang cuba kita gerakkan ke hadapan," katanya ditemui media pada sesi bicara 'Reformasi Perumahan: Meningkatkan Kualiti Kehidupan, Pemilikan & Kecekapan Kawal Selia' bersempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026), baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan insentif kepada pemaju bagi menggalakkan pelaksanaan skim bina dan jual (BTS), beliau berkata, kerajaan perlu memastikan tiada projek perumahan yang tergendala, selain menawarkan laluan kelulusan pantas kepada pemaju yang melaksanakan kaedah berkenaan.
"Jika pemaju melaksanakan BTS, mereka akan mendapat kelulusan yang pantas. Kita pernah ada rekod meluluskan permohonan kebenaran merancang dalam tempoh 30 hari.
"Dalam masa sebulan, semua pelan diluluskan. Ini akan menjimatkan kos pinjaman, faedah bank dan lain-lain kos kewangan," katanya.
Beliau berkata, KPKT sedang memantau perkembangan sektor berkenaan secara masa nyata setiap hari bagi memastikan pertumbuhannya kekal sihat tanpa menjadi terlalu perlahan atau bersifat spekulatif.
"Setakat ini, kita bersyukur dalam tempoh empat tahun ini sektor hartanah negara berkembang secara sihat, tidak berada dalam keadaan kritikal.
"Sebanyak 1,333 projek sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan, sekali gus membantu merancakkan semula pasaran," katanya.
Sementara itu, jumlah jualan sektor hartanah negara meningkat daripada RM190 bilion kepada RM232 bilion, dan beliau yakin trend pertumbuhan itu dapat dikekalkan.
Katanya, perkembangan positif itu berupaya menjana lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Selain itu, ia juga dapat memastikan nilai hartanah terus meningkat sebagai satu bentuk pemeliharaan dan penciptaan kekayaan.
"Kita perlu pastikan nilai sektor hartanah terus meningkat. Hartanah bukan sekadar soal mampu milik, tetapi juga instrumen pemeliharaan dan penciptaan kekayaan.
"Kita mesti melihat kedua-dua sisi secara adil dan seimbang, setakat ini, sektor hartanah kita berada pada landasan sihat," katanya.