Pemilik meninggal dunia sebelum tukar nama, rumah jadi milik siapa?
Soalan ini antara yang paling kerap ditanya dan menimbulkan tanda tanya.
Adakah ia hak mutlak pasangan atau anak-anak?
Peguam, Dr Mahmud Jumaat merungkai persoalan dan tanggapan tidak tepat sebaik kematian pemilik rumah.
"Ramai waris hanya sedar perkara sebenar apabila mahu menukar nama hak milik atau menjual rumah, barulah timbul masalah apabila geran masih atas nama arwah.
"Kematian pemilik tidak menjadikan rumah itu terus milik waris, walaupun waris sudah lama tinggal di situ, menjaga rumah atau membayar ansuran bulanan," katanya.
Katanya, daripada sudut undang-undang, apabila pemilik rumah meninggal dunia sebelum sempat menukar nama, rumah itu menjadi harta pusaka si mati.
"Geran kekal atas nama arwah selagi proses pentadbiran pusaka belum diselesaikan secara sah dan waris hanya mempunyai hak benefisial (hak menuntut), bukannya hak milik berdaftar.
"Antara ayat paling biasa kami dengar bila klien datang jumpa ialah, 'arwah ayah belum sempat tukar nama rumah'," katanya yang juga pemilik firma guaman Emir Mahmud & Co.
Menurutnya, ada kes rumah sudah bertahun didiami, pinjaman perumahan masih berjalan dan bil utiliti dibayar seperti biasa, namun daripada sudut undang-undang, status rumah itu masih 'tergantung'.
Katanya, selagi pusaka tidak diuruskan rumah tidak boleh dijual, tidak boleh dipindah milik, dijadikan cagaran dan mudah menjadi punca pertikaian waris.
"Apabila nama masih atas geran milik arwah, apa-apa urusan berkaitan rumah memang tersekat," jelasnya.
Akuinya, jika arwah pemilik tidak meninggalkan wasiat, waris perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir ('Letter of Administration') melalui Mahkamah Tinggi, Amanah Raya Berhad dan Pejabat Pusaka Kecil sekiranya harta tak alih nilaian RM2 juta ke bawah.
Mahmud berkata, wasiat sangat membantu kerana ia menentukan siapa yang berhak menerima rumah, melantik pentadbir atau wasi dan mempercepatkan proses pusaka.
"Bagaimanapun, wasiat tidak memindahkan hak milik secara automatik.
"Bagi orang Islam, wasiat tertakluk kepada hukum Faraid iaitu maksimum satu pertiga kepada bukan waris tanpa persetujuan waris lain," katanya.
Katanya, waris dibenarkan mendiami atau menyewakan rumah itu dengan syarat ada persetujuan semua waris dan tidak melanggar undang-undang atau perintah mahkamah.
"Namun, sebarang urusan jual beli atau pindah milik tidak dibenarkan sehingga pusaka diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Antara risiko jika rumah dibiarkan lama tanpa penukaran nama:
• Konflik antara waris
• Pusaka berlapis jika waris meninggal dunia pula
• Tunggakan cukai tanah dan cukai pintu
• Proses jadi lebih panjang, rumit dan mahal
Antara bantuan yang boleh diberikan oleh firma guaman termasuk:
• Menyemak status hartanah
• Memberi nasihat saluran pusaka yang betul
• Mengurus permohonan pusaka
• Mewakili waris
• Menyelesaikan pertikaian waris
• Mengurus pindah milik atau jualan selepas pusaka selesai
Nasihat paling penting kepada pemilik rumah dan waris adalah jangan menangguh urusan pusaka.
Langkah awal boleh menyelamatkan keluarga daripada konflik yang berpanjangan antaranya:
• Menyediakan wasiat
• Mengemas kini hak milik
• Menyenaraikan aset dan waris
• Memaklumkan lokasi dokumen penting
• Mempertimbangkan hibah atau amanah