
MEMILIKI rumah sendiri ketika usia masih di pertengahan 20-an mungkin menjadi impian bagi sesetengah golongan muda, namun bagi Muhammad Fakhrullah Mohammad Hizal, 26, impian itu direalisasikan ketika usianya mencecah 25 tahun.
Pereka Grafik Kanan dari Kuala Lumpur itu membeli rumah pertamanya di kawasan Dengkil atau CyberSouth, Selangor, pada Mac 2025 dengan anggaran harga RM460,000 menggunakan pembiayaan perumahan sepenuhnya.
Muhammad Fakhrullah berkata, keputusan membeli rumah bukan dibuat kerana terpengaruh dengan orang lain, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk memiliki tempat tinggal yang lebih stabil apabila berkeluarga kelak selain menjadikannya sebagai aset untuk masa depan.
"Pertama sekali adalah keinginan saya sendiri untuk mempunyai tempat tinggal yang lebih stabil apabila sudah berkeluarga dan menjadi satu aset untuk masa depan.
"Bagi saya, pembelian rumah sebagai satu tanggungjawab dan pelaburan jangka panjang, daripada hanya memikirkan keperluan sekarang, saya mahu merancang kehidupan yang lebih teratur pada masa akan datang.
"Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk mula mengambil langkah berkenaan, walaupun saya sedar masih banyak perkara yang perlu dipelajari pada ketika ini," katanya kepada Harian Metro.
Dalam usaha mendapatkan rumah yang sesuai, Muhammad Fakhrullah menghubungi puluhan ejen hartanah selain membuat 'kajian' sendiri berkenaan kawasan yang menjadi pilihannya sebelum memutuskan untuk membeli rumah jenis rumah bertanah (landed) di luar kawasan Kuala Lumpur.
Katanya, lokasi, harga dan kesesuaian rumah untuk kehidupan jangka panjang antara perkara utama yang dipertimbangkan sebelum membuat keputusan, selain memilih kawasan yang dilihat mempunyai potensi untuk berkembang pada masa akan datang.
"Saya berkeinginan untuk mempunyai rumah yang sedikit luar dari kawasan bandar dan kawasan yang akan membangun pada masa akan datang," katanya.
Bagaimanapun, cabaran terbesar sepanjang proses pembelian itu adalah memastikan komitmen kewangan yang bakal ditanggungnya berada pada tahap yang mampu diuruskan, terutama dengan bayaran pinjaman rumah yang dianggarkan kira-kira RM1,800 sebulan apabila bayaran penuh bermula.
Muhammad Fakhrullah berkata, pada ketika ini bayaran rumah masih dibuat secara progresif dan jumlahnya kira-kira 70 peratus daripada bayaran asal, namun komitmen itu tetap mendorongnya untuk lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan.
"Bagi saya, memang tak boleh bergantung kepada satu kerja. Saya buat kerja 'freelance' (kerja sambilan bebas) untuk menyokong dan keselesaan perbelanjaan bulanan saya," katanya.
Menariknya, rumah pertama itu belum didiaminya kerana dia masih menyewa di Kuala Lumpur dengan kadar RM1,300 sebulan bagi memudahkan urusan ulang-alik ke tempat kerja, malah merancang untuk menyewakan rumah berkenaan selepas mendapat kunci.
Buat masa ini, Muhammad Fakhrullah juga merancang melengkapkan rumah secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan dengan konsep minimalis dan penggunaan warna neutral seperti gaya Muji yang menjadi pilihan peribadinya.
"Saya suka melihat rumah yang berkonsepkan minimalis dan sedap mata memandang. Saya suka dengan penggunaan warna neutral seperti konsep Muji yang estetik dan praktikal.
"Kos ubah suai saya perlu melakukan secara berperingkat mengikut bajet supaya kewangan saya masih dalam keadaan yang stabil.anggaran itu pun secara kasar di bawah RM60,000 tetapi berperingkat," katanya.
Bagi Muhammad Fakhrullah, pengalaman memiliki rumah pertama pada usia muda bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya mengajarnya mengenai tanggungjawab, perancangan kewangan dan pentingnya tidak membandingkan perjalanan hidup dengan orang lain.
"Nasihat saya kepada golongan muda adalah jangan takut untuk mula merancang memiliki rumah walaupun masih muda, namun pastikan keputusan itu dibuat berdasarkan kemampuan dan bukan semata-mata kerana terpengaruh dengan orang lain," katanya.
Trend Pembelian Rumah Pertama
Pakar Ekonomi di Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, trend kebelakangan ini menunjukkan golongan muda di Malaysia cenderung melewatkan pembelian rumah pertama sebaliknya mengutamakan penyewaan dan gaya hidup seperti pemilikan kenderaan serta gajet.
Menurutnya, golongan muda kebiasaannya hanya mula memikirkan berkenaan pemilikan rumah apabila usia melepasi 30-an, menjadikan pembelian pada pertengahan 20-an seperti dilakukan Muhammad Fakhrullah bukan kecenderungan yang dominan ketika ini.
Dr Baharom berkata, pembelian rumah pada usia muda boleh memberi impak positif atau sebaliknya bergantung kepada kemampuan individu, termasuk jika pemilikan itu menyumbang kepada pertumbuhan aset atau ekuiti.
"Jika ia mengikut kemampuan dan menyumbang kepada pemilikan hartanah, aset atau ekuiti yang berkembang, ia boleh dilihat positif dari sudut ekonomi dan kewangan. Namun, jika menyebabkan tekanan, liabiliti melampau, mengakibatkan kurangnya kualiti kehidupan, impaknya sebaliknya," katanya.
Menurut Baharom, antara perkara yang mempengaruhi kemampuan golongan muda membeli rumah termasuk kelayakan pembiayaan selepas mengambil kira hutang pendidikan, kenderaan dan gaya hidup, selain keperluan menyediakan bayaran pendahuluan, kos guaman, duti setem serta kos penyelenggaraan.
"Sejujurnya, lebih kepada rumah mampu tengok sahaja, kalau lihat projek baharu yang menyasarkan golongan muda ini, rata-rata harga bermula dari RM250,000 ke atas, untuk mampu milik rumah pada harga itu memerlukan gaji minima RM3,500, atau juga dikenali sebagai gaji bermaruah atau living wage (gaji sara hidup), rata-rata golongan muda memiliki gaji di bawah itu," katanya.