
Apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober ini, rakyat bukan sahaja akan menantikan pengumuman mengenai bantuan atau dasar baharu, tetapi juga mahu melihat sejauh mana usaha yang sudah diperkenalkan mampu membawa perubahan sebenar dalam kehidupan seharian.
Dalam keadaan kos sara hidup, kemampuan memiliki kediaman dan perubahan corak pekerjaan terus menjadi perhatian, persoalan yang semakin penting ialah bagaimana setiap peruntukan dan dasar dapat diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.
Memasuki tahun kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Belanjawan 2027 sewajarnya menjadi titik untuk memperkemas apa yang sudah ada, mempercepat pelaksanaan dan menutup jurang antara dasar dengan realiti di lapangan.
Bagi sektor hartanah dan perumahan khususnya, tumpuan tidak lagi harus tertumpu kepada berapa banyak dasar atau unit rumah yang diumumkan, tetapi sejauh mana rakyat dapat mengakses, memiliki atau menyewa kediaman yang sesuai dan mampu dikekalkan dalam jangka panjang.
Selain meneruskan pendekatan bantuan kewangan bersasar dan reformasi struktur ekonomi, sektor hartanah juga memerlukan perhatian kepada penggunaan insentif secara lebih langsung dan berkesan bagi pemilik rumah, penghuni serta pemain industri.
Penekanan Kementerian Kewangan terhadap perbelanjaan berasaskan hasil, kecemerlangan pelaksanaan dan usaha menghapuskan kesesakan dalam penyampaian merupakan hala tuju yang wajar diberi keutamaan dalam sektor hartanah.
Pelancaran Dasar Perumahan Negara 2026-2035 (DRN 3.0) baru-baru ini merupakan langkah positif ke arah perancangan perumahan berasaskan keperluan.
Belanjawan 2027 wajar membina momentum ini melalui ekosistem perumahan yang lebih berpandukan data, dengan penawaran diselaraskan mengikut pendapatan isi rumah, perubahan demografi dan permintaan sebenar di sesuatu kawasan.
Penyelarasan dan perkongsian data yang lebih baik antara kementerian serta pemegang data berkaitan di peringkat nasional dan tempatan juga boleh membantu pasaran memahami keadaan setempat dengan lebih tepat.
Akses kepada data mengenai penduduk, pendapatan, guna tanah, pembangunan dan permintaan perumahan akan membolehkan perancangan dibuat dengan lebih bersasar, sekali gus membantu menangani ketidakpadanan antara penawaran dan kemampuan yang telah lama wujud di sebahagian pasaran.
Agenda perumahan juga perlu bergerak melangkaui sekadar menghitung jumlah unit yang dibina. Kadar pemilikan rumah perlu dinilai berdasarkan unit kediaman formal yang mempunyai kemudahan dan perkhidmatan asas yang sewajarnya, termasuk kutipan sampah oleh pihak berkuasa tempatan dan bekalan air paip terawat, bukannya berdasarkan semata-mata jumlah tempat tinggal yang wujud.
Lebih penting, persoalan utama ialah sama ada rakyat mampu mengakses, memiliki atau menyewa, membayar dan mengekalkan kediaman yang sesuai mengikut keperluan pada setiap peringkat kehidupan mereka.
Kerajaan dijangka terus memperluas dan memperkukuh inisiatif pemilikan rumah bagi pembeli rumah pertama, termasuk pengecualian duti setem, pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan serta skim jaminan pembiayaan untuk golongan muda, pekerja gig dan individu bekerja sendiri.
Program sedia ada telah menunjukkan nilainya dan wajar diperkasakan lagi. Namun, akses kepada perumahan tidak seharusnya dilihat daripada sudut pemilikan semata-mata.
Perhatian yang lebih besar juga perlu diberikan kepada perumahan sewaan yang diurus secara profesional, model sewa untuk milik serta penyelesaian pembiayaan yang lebih sesuai untuk kumpulan rentan.
Pendekatan ini lebih mencerminkan perubahan dalam corak pekerjaan, mobiliti tenaga kerja dan pilihan gaya hidup masa kini. Pada masa sama, sebarang perundangan baharu bagi mengawal selia pasaran sewaan perlu mengambil kira kepentingan kedua-dua penyewa dan tuan rumah supaya pasaran kekal dinamik, adil dan mesra kepada semua pihak.
Bagi bandar pula, tumpuan perlu beralih daripada sekadar memperluas pembangunan kepada usaha memperbaharui dan menghidupkan semula kawasan sedia ada.
Insentif yang menggalakkan pembangunan semula bangunan berusia, guna semula adaptif aset komersial yang kurang dimanfaatkan serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) berpotensi membuka nilai ekonomi dan sosial yang besar.
Bagaimanapun, proses pembaharuan bandar perlu mengambil kira kepentingan pemilik sedia ada.
Penyelesaian yang dicapai perlu bersifat menang-menang, munasabah dan dapat diterima oleh pemilik yang terkesan serta pihak yang membawa pembangunan.
Tanpa keseimbangan ini, matlamat regenerasi bandar mungkin berdepan cabaran dari segi pelaksanaan dan penerimaan.
Pelaburan pengangkutan awam juga tidak seharusnya diukur berdasarkan peningkatan mobiliti semata-mata. Nilainya perlu dilihat dari segi keupayaan meningkatkan daya huni bandar, merancakkan aktiviti komersil, memperluas akses kepada pekerjaan dan perkhidmatan serta meningkatkan kebolehcapaian perumahan.
Dalam konteks ini, pengangkutan dan perumahan perlu dirancang sebagai sebahagian daripada ekosistem yang sama, bukannya secara berasingan.
Akhirnya, Belanjawan 2027 perlu menjadi belanjawan yang menekankan pelaksanaan, penyelarasan dan kebertanggungjawaban, dengan keberkesanannya diukur berdasarkan manfaat yang benar-benar sampai kepada rakyat.
Dalam fasa seterusnya, kemajuan negara tidak semestinya bergantung kepada berapa banyak dasar baharu yang diperkenalkan, tetapi sejauh mana dasar sedia ada mampu diterjemahkan kepada peningkatan yang boleh diukur dalam kemampuan memiliki atau menyewa rumah, kualiti hidup, daya huni, produktiviti dan nilai ekonomi jangka panjang.
Bagi sektor hartanah khususnya, masa untuk sekadar menambah dasar sudah tiba di satu titik penting. Yang lebih diperlukan kini ialah memastikan dasar yang ada benar-benar berfungsi di lapangan, sampai kepada kumpulan yang disasarkan dan menghasilkan perubahan yang dapat dirasai rakyat.